Thursday, July 3, 2014

INFO : MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Monday, June 30, 2014

INFO : MEMBINA SEMANGAT PATRIOTISME

SETIAP kali menjelang Ogos, rakyat Malaysia diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu semangat cintakan negara. Melalui semangat cintakan negara akan dapat membentuk ke arah pembina negara bangsa yang bersatu padu.

Matlamat dan wawasan membina Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah berasaskan kepada penyatuan dan perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila transformasi ini berlaku kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan.

Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema penting yang mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaan hampir 57 tahun yang lalu.
Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa yang kritikal seperti globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan sebagainya.

Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan kita kepada negara yang kita cintai.

Setiap rakyat yang cintakan negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 56 tahun lalu. Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara.
Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui semangat ini rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan sesebuah negara.

Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua golongan rakyat dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat.

Kesetiaan pada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cintakan negara ini harus mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan semakmur Malaysia.

Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.

Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah itu.

Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-57 dan Hari Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan lagi dalam hati setiap rakyat negara ini. Ini mencerminkan jiwa patriotik dan perasaan seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua dan muda mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat cintakan negara.

Pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk menerapkan semangat cintakan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan kemerdekaan negara.

Golongan muda seharusnya mengambil contoh dan teladan pejuang kemerdekaan dahulu selain Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra yang gigih serta mempunyai semangat cintakan negara terdapat juga tokoh lain yang turut berjuang ke arah kemerdekaan.

Sebagai contoh, Pendeta Za'ba ialah pejuang kemerdekaan yang telah berjuang memimpin orang Melayu pada zamannya. Beliau menyatakan: " Saya telah diminta memimpin orang Melayu yang ketika itu tidak ada pemimpin, saya menerima permintaan itu. Dengan semangat, saya ingin menentang Malayan Union dan tidak ada orang memimpin orang Melayu, tanpa sebarang bantahan saya terus berikhtiar menegakkan politik Melayu."

Membina bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat cintakan negara.

Remaja adalah aset terpenting negara. Penerapan semangat patriotisme iaitu rasa cinta akan negara mestilah dilakukan untuk membina negara bangsa. Memupuk semangat cintakan negara tidak seharusnya bergantung pada wahana sejarah semata-mata. Ini boleh dilakukan melalui mata pelajaran lain melalui penerapan nilai murni dan semangat cintakan negara.

Pemupukan jati diri kepada pelajar mestilah bermula daripada rasa cinta dan sayangkan negara. Negara ini adalah tanah tumpah darah yang mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara memupuk semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu.
Menerapkan kesedaran patriotisme mestilah melalui pendidikan dan kesedaran terhadap tanah air. 

Patriotisme juga tidak dapat dipisahkan daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan berdaulat itu benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan juga dengan identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan di sekolah.