Maksud lambang dan warna pada Bendera Malaysia
Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju
yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini.
Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh itu Jalur
Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam
mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi
menjaga nama dan menaikkan imej negara.
Warna Merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran.
Warna Putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan,
Warna Biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala
Warna Kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.

JALUR GEMILANG
Bendera merupakan lambang kepimpinan,
simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara.
Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan
perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang
kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang
juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu
biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.
Terdapat 14 jalur merah dan putih
melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan
berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini
menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan
iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri
Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah
Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Warna merah pada jalur membawa makna
gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning
yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang
melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah,
putih dan biru melambangkan setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan
United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.
Sejarah Bendera Malaysia
Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan tersebut, ciptaan Encik Mohamad bin Hamzah (arkitek kerajaan Johor) dipilih sebagai pemenang. Walau bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.
Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan
Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua
Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan
King George VI pada 19 Mei 1950. Sehubungan dengan itu, buat pertama
kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan
Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan
pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950.
Selepas penubuhan Malaysia pada 16
September 1963, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubahsuai
sejajar dengan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura ke dalam
Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun Singapura keluar daripada Malaysia
pada tahun 1965, namun Malaysia masih mengekalkan ciri-ciri benderanya.
Setelah berkibar megah sejak 1950, pada malam 31 Ogos 1997, Tun Dr.
Mahathir bin Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu telah
mengukir satu lagi sejarah apabila beliau mengumumkan nama baru bagi
Bendera Malaysia iaitu JALUR GEMILANG.
No comments:
Post a Comment