SETIAP kali menjelang Ogos,
rakyat Malaysia diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat
patriotisme iaitu semangat cintakan negara. Melalui semangat cintakan negara
akan dapat membentuk ke arah pembina negara bangsa yang bersatu padu.
Matlamat dan wawasan membina
Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah
berasaskan kepada penyatuan dan perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila
transformasi ini berlaku kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan.
Patriotisme seharusnya menjadi
subjek dan tema penting yang mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas
negara ini mencapai kemerdekaan hampir 57 tahun yang lalu.
Dalam masa sama Malaysia
menghadapi pelbagai cabaran semasa yang kritikal seperti globalisasi,
liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme, keganasan,
sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan sebagainya.
Justeru, patriotisme adalah
keyakinan kita bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan
kita lahir di negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita
apa sumbangan kita kepada negara yang kita cintai.
Setiap rakyat yang cintakan
negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui
sepanjang 56 tahun lalu. Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara
kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang
mencetuskan kemerdekaan negara.
Patriotisme adalah perjuangan
yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat
juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan
negara seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Mengibarkan Jalur Gemilang adalah
simbol kepada rasa cinta kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang
seharusnya berkibar megah di perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di
kenderaan. Melalui semangat ini rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan
dalam jiwa setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada
pegangan politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan sesebuah negara.
Patriotisme juga memerlukan
komitmen pemimpin dan semua golongan rakyat dengan mempertahankan asas
pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan negara daripada musuh dan
ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat.
Kesetiaan pada raja dan negara
yang ditunjukkan oleh warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan
unsur patriotisme yang sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam
dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di
Malaysia.
Patriotisme juga adalah
perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat
yang cintakan negara ini harus mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan
tiada negara lain seaman dan semakmur Malaysia.
Nilai patriotisme yang patut
diterapkan dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian,
rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan
bagi mewujudkan rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan
negara.
Semangat patriotisme perlu
dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia iaitu membabitkan ekonomi,
politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam
konteks globalisasi. Usaha haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia
sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian
dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru
adalah suatu permulaan ke arah itu.
Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan
yang ke-57 dan Hari Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan
lagi dalam hati setiap rakyat negara ini. Ini mencerminkan jiwa patriotik dan
perasaan seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua dan
muda mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat cintakan negara.
Pendidikan adalah bidang yang
paling berkesan untuk menerapkan semangat cintakan tanah air. Sejak di bangku
sekolah lagi seseorang murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari
Tingkatan Satu hingga Lima diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun
Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan
kemerdekaan negara.
Golongan muda seharusnya
mengambil contoh dan teladan pejuang kemerdekaan dahulu selain Bapa Kemerdekaan
Negara, Tunku Abdul Rahman Putra yang gigih serta mempunyai semangat cintakan
negara terdapat juga tokoh lain yang turut berjuang ke arah kemerdekaan.
Sebagai contoh, Pendeta Za'ba
ialah pejuang kemerdekaan yang telah berjuang memimpin orang Melayu pada
zamannya. Beliau menyatakan: " Saya telah diminta memimpin orang Melayu
yang ketika itu tidak ada pemimpin, saya menerima permintaan itu. Dengan
semangat, saya ingin menentang Malayan Union dan tidak ada orang memimpin orang
Melayu, tanpa sebarang bantahan saya terus berikhtiar menegakkan politik
Melayu."
Membina bangsa dengan semangat
patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran
Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan
memberikan ilmu ke arah semangat cintakan negara.
Remaja adalah aset terpenting
negara. Penerapan semangat patriotisme iaitu rasa cinta akan negara mestilah
dilakukan untuk membina negara bangsa. Memupuk semangat cintakan negara tidak
seharusnya bergantung pada wahana sejarah semata-mata. Ini boleh dilakukan
melalui mata pelajaran lain melalui penerapan nilai murni dan semangat cintakan
negara.
Pemupukan jati diri kepada
pelajar mestilah bermula daripada rasa cinta dan sayangkan negara. Negara ini
adalah tanah tumpah darah yang mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang
masa. Cara memupuk semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui
kesedaran dan ilmu.
Menerapkan kesedaran patriotisme
mestilah melalui pendidikan dan kesedaran terhadap tanah air.
Patriotisme juga
tidak dapat dipisahkan daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan
berdaulat itu benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan
juga dengan identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa
kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan di
sekolah.