Negara Ku

LAGU NEGARAKU



Peranan Lagu Kebangsaan adalah untuk membangkitkan semangat patriotik terhadap negara bahkan ianya melambangkan sosio budaya serta mempaparkan cita-cita, hasrat dan harapan bangsa negara.

Lagu Kebangsaan Malaysia dinamakan Negaraku. Maksud lirik lagu Negaraku ialah menyeru rakyat dari berbagai bangsa, agama dan sosiobudaya hidup bersatu padu dan mengejar pelbagai kemajuan. Di samping itu lagu ini memohon rahmat dan kebahagiaan dari Allah untuk kesejahteraan raja, rakyat dan negara tercinta Malaysia. Rakyat Malaysia yang cintakan negara dan raja perlu mengetahui lebih dalam mengenai Negaraku supaya lebih bersemangat patriotik.

Juteru, generasi mudah harus faham bahawa lagu kebangsaan kita ini adalah sebahagian daripada jati diri kita sebagai rakyat Malaysia. Lagu inilah yang menyatukan kita dengan kepelbagaian kaum dan etnik sebagai bangsa Malaysia yang bersatu. Sebab itulah lagu Negaraku dikumandangkan dalam mana-mana festival sukan dan sebagainya di peringkat antarabangsa kerana ianya melambangkan imej, maruah, harga diri dan jati diri sesebuah negara itu. Lagu ini jugalah melambangkan semangat Malaysia yang mempunyai rentetan sejarahnya yang juga perlu difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.

Semangat Malaysia perlu difahami sebagai satu kejituan sikap, pandangan dan naluri terhadap negara ini. Segala yang dibulatkan dan ditekadkan untuk negara ini, baik dari segi perlakuan, pandangan mahupun falsafah hidup adalah untuk keamanan, kemakmuman dan perpaduan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Sudah tentulah untuk menanam semangat sedemikian rupa, remaja perlu faham mengenai susur-galur sejarah negaranya. Remaja juga perlu memahami mengapa sesuatu perkara itu terjadi dalam lipatan sejarah negara, di samping kronologi peristiwa dan dasar-dasar tindakan penting yang diambil sejak awal negara ini wujud lagi. Dengan mengkaji sejarah bangsa dan negaranya, remaja mampu memahami lantas menjuruskan tindakan yang bersesuaian dalam kerangka zamannya. Kerana tidak mungkin kita kembali kepada sejarah silam dengan memutarkan masa, maka kajian terhadap sejarah dilihat sebagai sumber yang berupaya untuk memberikan kita kefahaman terhadap mengapakah kita berkeadaan begini pada hari ini dan apakah yang perlu kita lakukan untuk masa hadapan.

Justeru, kita semua yang menggelar diri kita sebagai rakyat Malaysia yang masih tahu lirik dan irama lagu ini, amatlah malu kalau ada di antara kita yang sudah lupa macam mana nak menyanyikan lagu kebangsaan kita dan seterusnya menghormatinya.













No comments:

Post a Comment