Merdeka! Merdeka! Merdeka.
Teriakan suara hangat, suara penuh
semangat, suara keramat yang keluar daripada jiwa yang merdeka. Zaman
dulu-dulu, ketika nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini
dengan suara bergetar yang mempunyai rasa dalam jiwa kerana berasa
sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Kini bagaimana
perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Adakah
kita merasa terharu? Adakah kita berasa bersyukur? Atau paling tidak, adakah
kita rasa bangga?
58 tahun
negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah.
Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 58 tahun secara fitrahnya
akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang matang dari segi
fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah diri dan material. Begitu juga
dengan negara kita, Malaysia kini gah pada mata dunia, malah telah menduduki
antara negara yang maju berbanding negara jiran. Tetapi bagaimana pula dengan
remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu erti kemerdekaan? Adakah jiwa
dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang
menyambut kemerdekaan dari petang, tengah malam hingga dinihari?
Remaja
dan Patriotisme Bertitik tolak daripada kerisauan ini. Sehingga kami terfikir,
masih wujudkah lagi kemerdekaan negara kita dalam tempoh 50 tahun mendatang
ini. Tidak boleh tidak, setiap kali munculnya bulan Ogos, isu berkaitan
semangat patriotisme sering kali menjadi bualan masyarakat Malaysia.
Patriotisme sering kali dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu
semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat
khususnya generasi muda. Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai
murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat
menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak
mulia.
Oleh itu,
adalah sangat wajar bagi generasi muda khususnya menjadikan nilai patriotisme
sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan
masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca
modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk. Selain itu, patriotisme
berkait rapat dengan nasionalisme dan kedua-dua istilah ini sering ditukar
ganti penggunaannya seolah-olah sinonim dengan satu sama lain. Patriotisme juga
membayangkan bahawa seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding
kepentingan diri dan kelompoknya. Ketika peperangan, mungkin nyawa diri yang
perlu dikorbankan. Gugur dalam pertempuran demi tanah air adalah contoh tipikal
bagi patriotisme yang aulia atau ekstrem.
Walaupun
patriotisme sering disamakan dengan nasionalisme, tetapi kedua-duanya ada
perbezaan. Semangat patriotik dapat disimpulkan sebagai roh atau kumpulan orang
yang mempunyai pendapat yang sama dalam mengekalkan dan melindungi negara
tercinta. Nasionalisme wujud selepas patriotisme dibina dalam jiwa setiap
individu dalam masyarakat itu. Ia wujud selepas beransur-ansur penjanaan nilai-nilai
positif patriotik dalam individu untuk mempertahankan semangat nasionalisme.
Dua jenis patriotisme Hakikatnya, patriotisme boleh dibahagikan kepada dua
jenis iaitu patriotisme peribadi dan patriotisme rasmi. Patriotisme peribadi
adalah berperasaan dan sukarela. Patriot mematuhi nilai patriotik tertentu,
seperti menghormati bendera. Kerajaan memupuk patriotisme rasmi yang penuh isi
simbolik dan istiadatnya.
Patriotisme
ini adalah kepentingan logik negeri itu sendiri, yang memperoleh kesahan
daripada menjadi penyataan kebaikan bersama komuniti politik. Tugu Negara dan
Hari Pahlawan dan upacara peringatan adalah contoh bagi jenis patriotisme ini.
Selalunya patriotisme rasmi diatur oleh protokol, dengan kaedah-kaedah tertentu
untuk mengendali bendera, atau jaminan atau penunjukan kesetiaan tertentu.
Kepentingan pupuk semangat patriotisme Patriotisme juga banyak bergantung
kepada tindakan simbolik, seperti mempamerkan bendera, menyanyi lagu
kebangsaan, menyertai perhimpunan berunsurkan kenegaraan secara beramai-ramai,
meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, atau apa-apa cara sekalipun untuk
menyatakan kesetiaan kepada negara pada peringkat umum.
Bagaimanapun,
masyarakat sekarang seakan-akan lupa akan pentingnya memupuk semangat
patriotisme dalam diri masing-masing. Hal ini kerana kita sering kali melihat
anak bangsa kita yang tidak mengambil endah akan isu-isu yang menonjolkan
semangat patriotisme seperti bangga akan pencapaian negara dan budaya bangsa,
kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya dan identifikasi
dengan ahli-ahli lain dalam bangsa. Tanpa kita sedar patriotisme memainkan
peranan yang sangat penting dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan
kemerdekaan yang telah kita capai selama ini. Antara signifikasi patriotisme adalah
membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum, menjadi pemacu kepada
kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah keselamatan negara. Demi
mencapai persefahaman antara kaum pelbagai usaha telah kerajaan lakukan.
Mungkin kita tidak pernah perasan, kebanyakan tema kemerdekaan berkaitan dengan
perpaduan rakyat. Antaranya ialah muhibah dan perpaduan, bersatu maju,
kebudayaan sendi perpaduan, nasionalisme teras perpaduan dan lain-lain lagi.
Dari
sini, kita dapat lihat bertapa pentingnya perpaduan sebagai pengikat dalam
kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk. Tanpa perpaduan, rakyat Malaysia
yang berbeza bangsa, latar belakang dan agama akan mudah diprovokasi dan diadu
domba oleh pihak yang mempunyai kepentingan mereka sendiri. Dengan kefahaman
patriotik yang tinggi, pemeliharaan dan pemerkasaan perpaduan dapat dibentuk
dengan mudah. Dengan itu, peristiwa yang dapat menggugat keamanan negara
seperti peristiwa 13 Mei dan peristiwa Kampung Medan 4 Mac 2001 dapat kita
hindari. Pernahkah kita berfikir apa yang akan terjadi pada kemajuan negara
kita jika nilai patriotisme tidak diterap dalam diri masing-masing? Lihatlah
apa yang terjadi melalui peperangan negara Iraq dan Afghanistan, penjajahan
Israel ke atas Palestin, Mexico dengan masalah dadah serta Thailand dengan
konflik berdarah oleh kumpulan 'Baju Merah' melawan 'Baju Kuning'. Kesan kepada
keadaan yang dihadapi oleh negara itu, menyebabkan perkembangan ekonomi negara
tersebut terencat serta mengganggu hubungan baik antara negara. Kestabilan
ekonomi sesebuah negara tidak dapat dikekalkan jika masalah-masalah dalaman
yang telah mereka hadapi atau sedang harungi, tidak dirungkai.
Rakyat
Malaysia perlu sedar betapa pentingnya nilai patriotisme bagi memupuk semangat
perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan hala tuju negara ke arah negara
maju yang kukuh. Kejayaan yang telah dicapai pada hari ini bukanlah bergantung
kepada individu semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek seperti ke arah
patriotisme rakyat. Tidak dinafikan tugas menjaga keselamatan negara diterajui
sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan seperti polis dan tentera. Namun begitu
tanggungjawab ini juga sepatutnya digalas oleh setiap warga negara. Dengan
semangat patriotisme yang tinggi, rakyat akan menjadi semakin peka dan prihatin
terhadap maruah dan kedaulatan negara. Lantaran itu, jumlah anggota yang
diperlukan dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) dan Ikatan Relawan Rakyat
Malaysia yang menjadi benteng kedua keselamatan negara dapat dipenuhi. Selain
itu, gerakan pihak subversif yang sering menghasut minda masyarakat, kita dapat
disekati. Justeru, patriotisme adalah ejen sosialisasi yang berkesan dan mantap
untuk mengekalkan kemerdekaan sehingga pada masa akan datang. Bagaimanapun,
terdapat banyak kekangan untuk mencapai objektif ke arah sifat patriotisme ke
arah negara bertamadun tinggi. Sehubungan dengan itu, perlunya inti pati
semangat ini diselitkan dalam pendidikan negara terutama dari sekolah rendah,
bak kata pepatah Melayu "melentur buluh biarlah dari rebungnya".
Oleh itu,
pendidik perlu menyemai semangat patriotisme dengan lebih kreatif supaya
pelajar dapat menjiwai dengan lebih mendalam. 50 tahun mendatang merdekakah
kita lagi? Namun begitu, isu yang sering kali menjadi persoalan utama ketika
ini, masihkah ada kemerdekaan untuk Malaysia pada masa 50 tahun yang akan
datang? Hal ini kerana kian hari kita disajikan dengan perilaku anak bangsa
yang semakin jauh atau melupai untuk mendalami erti sebenar semangat
patriotisme ini. Anak muda sekarang lebih mudah terpengaruh dengan dengan
perilaku negatif sehingga leka dalam menghayati semangat patriotik. Contohnya,
anak muda lebih mudah terpengaruh untuk turut serta dalam "penentangan
jalanan" tanpa mengetahui dengan lebih mendalam akan maksud atau faedah
sebenar bantahan itu. Bagi mereka keinginan untuk turut serta dalam kekacauan
itu sudah menjadi seperti trend yang dapat mereka banggakan. Walhal, jika
situasi ini berterusan, tidak hairanlah andai suatu hari kelak, emosi bertemu
emosi, perbalahan atau pergaduhan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum
ini akan tercetus yang mengakibatkan perpecahan kaum. Mungkin juga keadaan ini
akan menyebabkan berlakunya peperangan dalaman antara rakyat dan kerajaan yang
akan menghancurkan kestabilan negara kita.
Sebagai
rakyat bumi tercinta ini tertanya-tanya juga akan sejauh manakah orang bukan
Bumiputera menerapkan nilai patriotisme? Apatah lagi selepas 58 tahun mencapai
kemerdekaan, mengapakah wujudnya penterjemah dalam mahkamah sedangkan Bahasa
Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia? Keadaan ini membuktikan bertapa tahap
patriotisme yang telah berkurangan dalam generasi kini. Hilangnya jati diri
sebagai anak Malaysia menjadikan mereka lupa pada kewujudan Malaysia pada masa
lalu. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan tidak lagi menjadi
kebanggaan kepada sesetengah anak-anak Malaysia terutamanya mereka yang
berbangsa bukan Bumiputera. Lebih menyedihkan, media sosial menjadi medium
kebebasan untuk mereka bersuara tanpa batasan. Malah, ada juga yang menyatakan
rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran negara, mempersoalkan hak Bumiputera
serta merendahkan kekuasaan Raja-raja di Malaysia. Ternyata mereka tidak
memahami rukun negara kita, apatah lagi peruntukan Perlembagaan yang
membataskan perkara tertentu dalam dibincangkan secara umum.
Bukan
kita menuding jari kepada sesiapa atau tidak juga mahu menangkan bangsa Melayu.
Umum dapat melihat bangsa lain seperti mengambil mudah isu patriotisme ini.
Sebagai contoh, andai orang bukan Bumiputera diajukan soalan seperti "Saya
berasa gembira jika dipilih menyertai PLKN", "Saya sangat menghormati
pahlawan yang berkorban untuk mempertahankan Malaysia", "Saya sedia
berbakti kepada negara" serta soalan lain yang berunsur patriotisme ini,
kebanyakan mereka sama ada memberikan jawapan yang negatif atau terus menolak
untuk menjawab akan persoalan itu. Sudah jelas menunjukkan bahawa mereka tidak
mendalami semangat patriotisme terhadap negara sendiri? Mungkin "Ya"
atau juga mungkin "Tidak". Oleh sebab itu, patriotisme bukan saja
harus dipupuk oleh bangsa Melayu saja, malahan oleh bangsa lain kerana topik
ini harus dititik beratkan bagi memastikan Malaysia masih terus merdeka.
Hal ini
kerana Malaysia adalah sebuah negara unik kerana terdiri dari berbilang bangsa.
Tuntasnya di sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini adalah tonggak utama
dalam memastikan Malaysia agar terus merdeka walau 50 tahun mahupun 100 tahun
yang akan datang. Hal ini kerana kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum
yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman dan menepis segala
ancaman dari dunia luar agar Malaysia tidak akan dijajah semula. Bak kata Tun
Dr. Mahathir: "Mereka yang melupakan sejarah, pasti akan
mengulanginya".
Oleh yang
demikian, sebagai rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dan berbeza
agama, tentunya tidak mampu menunggu sehingga tahap kritikal. Tentulah kita
mengetahui pentingnya patriotisme sebagai rakyat Malaysia seperti perumpamaan
"sudah terhantuk, barulah terngadah". Rentetan itu, nilai patriotisme
haruslah diterapkan kepada anak muda kita sejak awal pembelajaran lagi agar
menjadi pegangan hidup kelak.
Perbaiki
masalah perpaduan Masih belum lagi terlambat untuk memperbaiki masalah
perpaduan negara. Yang penting ialah keikhlasan. Barulah semangat patriotik di
kalangan rakyat akan dapat disemai. Penggunaan bahasa kebangsaan harus
digalakkan secara menyeluruh. Apa yang dilakukan sekarang bagus, tetapi masih
belum lagi mencukupi. Ironinya, apa erti Jalur Gemilang berkibar megah, jika
nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera
jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan?
Apa
ertinya negara akan menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-58, jika rakyat yang
berbilang bangsa masih lagi syak wasangka sesama sendiri. Semua ini masalah
pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan tidak ada erti dan tiada
bezanya dengan perayaan lain yang dirayakan di negara ini. Mungkin pantun
klasik karya tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanudin al-Helmi dapat memberikan
erti kemerdekaan. Di atas robohan Kota Melaka Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka Membela hak keadilan pusaka Merdekakah kita
sebenarnya? Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan, sebaliknya, kita
dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang ciptaan prasangka
dusta.
Mari kita
bebaskan diri kita ini dengan menghayati erti sebenar perit mencapai
kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya. Semoga
teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kali ini penuh dengan getaran daripada jiwa
yang benar-benar ingin merdeka.
-Dr Ahmad Zaharuddin Sani
Ahmad Sabri-
No comments:
Post a Comment