Wednesday, July 29, 2015

MENJIWAI SEMANGAT PATRIOTIK



Merdeka! Merdeka! Merdeka. 

Teriakan suara hangat, suara penuh semangat, suara keramat yang keluar daripada jiwa yang merdeka. Zaman dulu-dulu, ketika nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar yang mempunyai rasa dalam jiwa kerana berasa sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Kini bagaimana perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Adakah kita merasa terharu? Adakah kita berasa bersyukur? Atau paling tidak, adakah kita rasa bangga?

58 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah. Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 58 tahun secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah diri dan material. Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini gah pada mata dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara jiran. Tetapi bagaimana pula dengan remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu erti kemerdekaan? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan dari petang, tengah malam hingga dinihari?

Remaja dan Patriotisme Bertitik tolak daripada kerisauan ini. Sehingga kami terfikir, masih wujudkah lagi kemerdekaan negara kita dalam tempoh 50 tahun mendatang ini. Tidak boleh tidak, setiap kali munculnya bulan Ogos, isu berkaitan semangat patriotisme sering kali menjadi bualan masyarakat Malaysia. Patriotisme sering kali dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda. Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

Oleh itu, adalah sangat wajar bagi generasi muda khususnya menjadikan nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk. Selain itu, patriotisme berkait rapat dengan nasionalisme dan kedua-dua istilah ini sering ditukar ganti penggunaannya seolah-olah sinonim dengan satu sama lain. Patriotisme juga membayangkan bahawa seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan kelompoknya. Ketika peperangan, mungkin nyawa diri yang perlu dikorbankan. Gugur dalam pertempuran demi tanah air adalah contoh tipikal bagi patriotisme yang aulia atau ekstrem.

Walaupun patriotisme sering disamakan dengan nasionalisme, tetapi kedua-duanya ada perbezaan. Semangat patriotik dapat disimpulkan sebagai roh atau kumpulan orang yang mempunyai pendapat yang sama dalam mengekalkan dan melindungi negara tercinta. Nasionalisme wujud selepas patriotisme dibina dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat itu. Ia wujud selepas beransur-ansur penjanaan nilai-nilai positif patriotik dalam individu untuk mempertahankan semangat nasionalisme. Dua jenis patriotisme Hakikatnya, patriotisme boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu patriotisme peribadi dan patriotisme rasmi. Patriotisme peribadi adalah berperasaan dan sukarela. Patriot mematuhi nilai patriotik tertentu, seperti menghormati bendera. Kerajaan memupuk patriotisme rasmi yang penuh isi simbolik dan istiadatnya.

Patriotisme ini adalah kepentingan logik negeri itu sendiri, yang memperoleh kesahan daripada menjadi penyataan kebaikan bersama komuniti politik. Tugu Negara dan Hari Pahlawan dan upacara peringatan adalah contoh bagi jenis patriotisme ini. Selalunya patriotisme rasmi diatur oleh protokol, dengan kaedah-kaedah tertentu untuk mengendali bendera, atau jaminan atau penunjukan kesetiaan tertentu. Kepentingan pupuk semangat patriotisme Patriotisme juga banyak bergantung kepada tindakan simbolik, seperti mempamerkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan berunsurkan kenegaraan secara beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara pada peringkat umum.

Bagaimanapun, masyarakat sekarang seakan-akan lupa akan pentingnya memupuk semangat patriotisme dalam diri masing-masing. Hal ini kerana kita sering kali melihat anak bangsa kita yang tidak mengambil endah akan isu-isu yang menonjolkan semangat patriotisme seperti bangga akan pencapaian negara dan budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya dan identifikasi dengan ahli-ahli lain dalam bangsa. Tanpa kita sedar patriotisme memainkan peranan yang sangat penting dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai selama ini. Antara signifikasi patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum, menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah keselamatan negara. Demi mencapai persefahaman antara kaum pelbagai usaha telah kerajaan lakukan. Mungkin kita tidak pernah perasan, kebanyakan tema kemerdekaan berkaitan dengan perpaduan rakyat. Antaranya ialah muhibah dan perpaduan, bersatu maju, kebudayaan sendi perpaduan, nasionalisme teras perpaduan dan lain-lain lagi.

Dari sini, kita dapat lihat bertapa pentingnya perpaduan sebagai pengikat dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk. Tanpa perpaduan, rakyat Malaysia yang berbeza bangsa, latar belakang dan agama akan mudah diprovokasi dan diadu domba oleh pihak yang mempunyai kepentingan mereka sendiri. Dengan kefahaman patriotik yang tinggi, pemeliharaan dan pemerkasaan perpaduan dapat dibentuk dengan mudah. Dengan itu, peristiwa yang dapat menggugat keamanan negara seperti peristiwa 13 Mei dan peristiwa Kampung Medan 4 Mac 2001 dapat kita hindari. Pernahkah kita berfikir apa yang akan terjadi pada kemajuan negara kita jika nilai patriotisme tidak diterap dalam diri masing-masing? Lihatlah apa yang terjadi melalui peperangan negara Iraq dan Afghanistan, penjajahan Israel ke atas Palestin, Mexico dengan masalah dadah serta Thailand dengan konflik berdarah oleh kumpulan 'Baju Merah' melawan 'Baju Kuning'. Kesan kepada keadaan yang dihadapi oleh negara itu, menyebabkan perkembangan ekonomi negara tersebut terencat serta mengganggu hubungan baik antara negara. Kestabilan ekonomi sesebuah negara tidak dapat dikekalkan jika masalah-masalah dalaman yang telah mereka hadapi atau sedang harungi, tidak dirungkai.

Rakyat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya nilai patriotisme bagi memupuk semangat perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan hala tuju negara ke arah negara maju yang kukuh. Kejayaan yang telah dicapai pada hari ini bukanlah bergantung kepada individu semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek seperti ke arah patriotisme rakyat. Tidak dinafikan tugas menjaga keselamatan negara diterajui sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan seperti polis dan tentera. Namun begitu tanggungjawab ini juga sepatutnya digalas oleh setiap warga negara. Dengan semangat patriotisme yang tinggi, rakyat akan menjadi semakin peka dan prihatin terhadap maruah dan kedaulatan negara. Lantaran itu, jumlah anggota yang diperlukan dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia yang menjadi benteng kedua keselamatan negara dapat dipenuhi. Selain itu, gerakan pihak subversif yang sering menghasut minda masyarakat, kita dapat disekati. Justeru, patriotisme adalah ejen sosialisasi yang berkesan dan mantap untuk mengekalkan kemerdekaan sehingga pada masa akan datang. Bagaimanapun, terdapat banyak kekangan untuk mencapai objektif ke arah sifat patriotisme ke arah negara bertamadun tinggi. Sehubungan dengan itu, perlunya inti pati semangat ini diselitkan dalam pendidikan negara terutama dari sekolah rendah, bak kata pepatah Melayu "melentur buluh biarlah dari rebungnya".

Oleh itu, pendidik perlu menyemai semangat patriotisme dengan lebih kreatif supaya pelajar dapat menjiwai dengan lebih mendalam. 50 tahun mendatang merdekakah kita lagi? Namun begitu, isu yang sering kali menjadi persoalan utama ketika ini, masihkah ada kemerdekaan untuk Malaysia pada masa 50 tahun yang akan datang? Hal ini kerana kian hari kita disajikan dengan perilaku anak bangsa yang semakin jauh atau melupai untuk mendalami erti sebenar semangat patriotisme ini. Anak muda sekarang lebih mudah terpengaruh dengan dengan perilaku negatif sehingga leka dalam menghayati semangat patriotik. Contohnya, anak muda lebih mudah terpengaruh untuk turut serta dalam "penentangan jalanan" tanpa mengetahui dengan lebih mendalam akan maksud atau faedah sebenar bantahan itu. Bagi mereka keinginan untuk turut serta dalam kekacauan itu sudah menjadi seperti trend yang dapat mereka banggakan. Walhal, jika situasi ini berterusan, tidak hairanlah andai suatu hari kelak, emosi bertemu emosi, perbalahan atau pergaduhan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini akan tercetus yang mengakibatkan perpecahan kaum. Mungkin juga keadaan ini akan menyebabkan berlakunya peperangan dalaman antara rakyat dan kerajaan yang akan menghancurkan kestabilan negara kita.

Sebagai rakyat bumi tercinta ini tertanya-tanya juga akan sejauh manakah orang bukan Bumiputera menerapkan nilai patriotisme? Apatah lagi selepas 58 tahun mencapai kemerdekaan, mengapakah wujudnya penterjemah dalam mahkamah sedangkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia? Keadaan ini membuktikan bertapa tahap patriotisme yang telah berkurangan dalam generasi kini. Hilangnya jati diri sebagai anak Malaysia menjadikan mereka lupa pada kewujudan Malaysia pada masa lalu. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan tidak lagi menjadi kebanggaan kepada sesetengah anak-anak Malaysia terutamanya mereka yang berbangsa bukan Bumiputera. Lebih menyedihkan, media sosial menjadi medium kebebasan untuk mereka bersuara tanpa batasan. Malah, ada juga yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran negara, mempersoalkan hak Bumiputera serta merendahkan kekuasaan Raja-raja di Malaysia. Ternyata mereka tidak memahami rukun negara kita, apatah lagi peruntukan Perlembagaan yang membataskan perkara tertentu dalam dibincangkan secara umum.

Bukan kita menuding jari kepada sesiapa atau tidak juga mahu menangkan bangsa Melayu. Umum dapat melihat bangsa lain seperti mengambil mudah isu patriotisme ini. Sebagai contoh, andai orang bukan Bumiputera diajukan soalan seperti "Saya berasa gembira jika dipilih menyertai PLKN", "Saya sangat menghormati pahlawan yang berkorban untuk mempertahankan Malaysia", "Saya sedia berbakti kepada negara" serta soalan lain yang berunsur patriotisme ini, kebanyakan mereka sama ada memberikan jawapan yang negatif atau terus menolak untuk menjawab akan persoalan itu. Sudah jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mendalami semangat patriotisme terhadap negara sendiri? Mungkin "Ya" atau juga mungkin "Tidak". Oleh sebab itu, patriotisme bukan saja harus dipupuk oleh bangsa Melayu saja, malahan oleh bangsa lain kerana topik ini harus dititik beratkan bagi memastikan Malaysia masih terus merdeka.

Hal ini kerana Malaysia adalah sebuah negara unik kerana terdiri dari berbilang bangsa. Tuntasnya di sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini adalah tonggak utama dalam memastikan Malaysia agar terus merdeka walau 50 tahun mahupun 100 tahun yang akan datang. Hal ini kerana kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman dan menepis segala ancaman dari dunia luar agar Malaysia tidak akan dijajah semula. Bak kata Tun Dr. Mahathir: "Mereka yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya".

Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dan berbeza agama, tentunya tidak mampu menunggu sehingga tahap kritikal. Tentulah kita mengetahui pentingnya patriotisme sebagai rakyat Malaysia seperti perumpamaan "sudah terhantuk, barulah terngadah". Rentetan itu, nilai patriotisme haruslah diterapkan kepada anak muda kita sejak awal pembelajaran lagi agar menjadi pegangan hidup kelak.

Perbaiki masalah perpaduan Masih belum lagi terlambat untuk memperbaiki masalah perpaduan negara. Yang penting ialah keikhlasan. Barulah semangat patriotik di kalangan rakyat akan dapat disemai. Penggunaan bahasa kebangsaan harus digalakkan secara menyeluruh. Apa yang dilakukan sekarang bagus, tetapi masih belum lagi mencukupi. Ironinya, apa erti Jalur Gemilang berkibar megah, jika nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan?

Apa ertinya negara akan menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-58, jika rakyat yang berbilang bangsa masih lagi syak wasangka sesama sendiri. Semua ini masalah pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan tidak ada erti dan tiada bezanya dengan perayaan lain yang dirayakan di negara ini. Mungkin pantun klasik karya tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanudin al-Helmi dapat memberikan erti kemerdekaan. Di atas robohan Kota Melaka Kita dirikan jiwa merdeka Bersatu-padulah segenap baka Membela hak keadilan pusaka Merdekakah kita sebenarnya? Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan, sebaliknya, kita dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang ciptaan prasangka dusta.

Mari kita bebaskan diri kita ini dengan menghayati erti sebenar perit mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya. Semoga teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kali ini penuh dengan getaran daripada jiwa yang benar-benar ingin merdeka.

-Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri-

Wednesday, June 24, 2015

NOMBOR PLAT PATRIOT



Makna Nombor

1 – Satu : Lambang Kepimpinan, Keunggulan, Kemakmuran, Keutuhan Diri, Kekuatan, Keberanian Dan Kekuasaan.

2 – Dua : Simbol Bergaya, Perwatakan, Tertib, Pengesahan, Penyaksian.

3 – Tiga : Aktif, Bijaksana, Keceriaan.

4 – Empat :  Profesionalisma, Kesempurnaan, Kemantapan Kedudukan, Kewangan Dan Kehidupan, Kekuasaan, Kestabilan Dan Lengkap.

5 – Lima : Kreatif, Intelek, Mampu Mempengaruhi, Pemikir, Bijaksana, Pengkritik Dan Tahap Intelekual Yang Tinggi.

6 – Enam : Kekukuhan Kewangan, Kekuatan Dan Kesempurnaan.
7 – Tujuh : Bertuah Pemerintah, Bertenaga, Kekuatan Dalaman Dan Pelindung.

8 –Lapan : Kekayaan, Kemantapan, Kehidupan, Keadilan, Sempurna Dan Lengkap.

9 – Sembilan : Lambang Kebenaran, Tenaga, Kekuatan, Perjuangan, Kepahlawanan.





Tuesday, May 12, 2015

AKTIVITI : POSKAD KEPADA WIRA



Kuala Lumpur: Lebih 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara mengambil bahagian dalam Program Menulis Poskad Untuk Wira Negara di sini, semalam.

Sekolah kluster itu adalah yang kedua selepas SMK Damansara Damai 1 yang menyertai program itu bagi menunjukkan sokongan kepada perwira yang masih berjuang mempertahankan Lahad Datu.

Kandung pelbagai mesej Poskad yang mengandungi pelbagai mesej yang ditulis oleh pelajar itu bertujuan menaikkan semangat anggota pasukan keselamatan yang terbabit dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah.

Program itu turut dihadiri Penyelaras Briged Patriot, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dan Koordinator Kedua Briged Patriot, Datuk Nadzim Johan dan Guru Kanan Kemanusiaan SMK Seri Bintang Utara, Ruzila Yusoff.

Ramzi berkata program itu akan dipanjangkan dengan terus mengedarkan poskad kepada tiga sekolah dalam masa terdekat.

"Tiga sekolah yang akan turut serta dalam program ini adalah sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah agama," katanya.

Program anjuran Briged Patriot itu menyasarkan 20,000 poskad yang ditulis pelajar akan diserahkan kepada anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu pada minggu hadapan.

Ucap terima kasih

Pelajar, Wong Zhi Rang, 16, berkata beliau bersyukur kerana negara ini mempunyai pejuang yang cukup berani mempertahankan negara walaupun melalui pelbagai dugaan dan cabaran.

"Apabila mendapat berita mengenai insiden yang menimpa Lahad Datu saya terkejut kerana tidak sangka perkara seburuk ini boleh terjadi kepada negara yang aman seperti Malaysia.

"Bagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perwira yang sanggup berjuang mempertahankan negara bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama," katanya.

Pelajar lain, J Navin Laxman, 17, berkata beliau sedih apabila anggota keselamatan negara terkorban dan diumpamakan oleh sesetengah pihak sebagai 'mati katak'.

"Anggota keselamatan negara bermati-matian mempertahankan negara dan pihak di luar sana dengan sewenang-wenangnya menggelar sebagai mati sia-sia, jika anggota keluarga mereka yang berada di sana terkorban dan orang melabelkan seperti itu pasti mereka akan marah," katanya.

AKTIVITI : TABUNG WIRA





Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) malam tadi menyerahkan sumbangan kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima (TWLDMP) serentak majlis pelancaran Briged Patriot peringkat universiti berkenaan.

Sumbangan RM5,050 hasil kutipan warga UPNM itu diserahkan Timbalan Naib Canselor universiti terbabit, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Wan kepada Wartawan TV3, Nur Anisa Ismail pada majlis di kampusUPNM, di sini yang turut menyaksikan penubuhan satu lagi inisiatif keamanan, Projek Peace Bayu.

Briged patriot

Briged Patriot yang dilancarkan 24 Mac lalu susulan pencerobohan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyubur dan menzahirkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat selain menanam kesedaran mengenai pentingnya berdiri di belakang pasukan keselamatan dalam memelihara keamanan negara.

Peace Bayu pula ditubuhkan atas inisiatif kemanusiaan dan keamanan oleh mahasiswa dari 25 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Ia hasil ilham Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membentuk gerak kerja murni dalam kalangan mahasiswa untuk membantu kerajaan memperluaskan gelombang cintakan keamanan dan perpaduan dalam masyarakat.

Turut menyalurkan sumbangan kepada TWLDMP semalam adalah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM100,000 yang disampaikan Pengerusinya merangkap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kepada Pengurus Besar Komunikasi Korporat Media Prima, Mastura Adnan.

Di Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau mengutip RM10,000 dalam tempoh 3 hingga 27 Mac lalu yang kemudian diserahkan Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman kepada wakil TV3 Negeri Sembilan, Muhd Faizal Abbas pada satu majlis ringkas di Balai Undang Luak Rembau.

Dalam perkembangan lain di Kangar, Kerajaan Perlis diwakili Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menyumbang tanah bernilai kira-kira RM100,000 kepada Nor Aziah Noor, balu Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam Ops Daulat. Tanah berkenaan terletak berhampiran rumah ibu Nor Aziah di Taman Sena.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini dan saya hargai setiap sumbangan yang diberikan pelbagai pihak. Saya juga berharap semua pihak berdoa supaya saya kuat menempuh kehidupan mendatang bersama anak-anak," kata Nor Aziah.

AKTIVITI : CERAMAH PATRIOTIK DI SMK BATU MUDA

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BATU MUDA, KAMPUNG BATU MUDA 51100 KUALA LUMPUR Pengarah Unit Ekonomi & Usahawan Muda PPIM En. Yusuf Azmi telah menghadiri satu Program Pendidikan Khas di SMK Batu Muda Kuala Lumpur. Program yang dianjurkan oleh Program Pendidikan khas Integrasi (PPKI) SMK Batu Muda telah berjalan selama 4 hari bermula 5 Mei 2015 sehingga 8 Mei 2015.

Pelaksanaan Minggu Pendidikan Khas ini bertujuan untuk mengasimilasi pelajar Pendidikan Khas supaya dapat bersosialisasi dan berinteraksi dengan semua warga SMK Batu Muda. Ianya akan tercapai melalui pelaksanaan aktiviti yang melibatkan para pelajar Pendidikan Khas dan aliran perdana secara aktif dalam jangka masa tersebut. En. Yusuf Azmi yang hadir mewakili Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) telah merasmikan Penutupan Minggu Pendidikan Khas SMK Batu Muda. Penglibatan YPNM dalam program ini bagi memupuk semangat patriotisma dan menambah semangat cintakan Negara di kalangan anak-anak istimewa ini.




INFO : MAKNANYA PATRIOTISMA

Thursday, July 3, 2014

INFO : MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.